Sunday, November 18, 2012

cinta padamu Rasulullah besar makna bagi ku...

Muhammad Ibn Abdullah

Nabi yang mulia, Insan yang terulung dan manusia yang unggul.

Rasulullah Sallahualaihi Wassalam

Susuk tubuh dan peribadi yang menyejuk nurani dan hati bagi sesiapa yang mengenalinya. Walaupun tidak pernah hidup bersama baginda, walaupun tidak pernah bertentangan mata dan walaupun tidak pernah berbicara dan bersua muka – baginda tetap hidup di nadi setiap insan.

Bahkan, insan yang mulia ini disayangi, dirindui bahkan dicintai oleh seluruh ummat manusia sejak dahulu sehingga saat ini.


“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”

Surah Al-Ahzab ayat 21.




Rasulullah SAW adalah manusia yang istimewa, dekat di jiwa dan memiliki “aura” seorang pemimpin yang berwibawa. Baginda adalah qudwah yang nyata, seorang murabbi ulung dan juga seorang rasul yang terus menerus diingati sepanjang zaman.

Justeru, timbul persoalan tentunya dalam menzahirkan cinta dan sayang kepada baginda bukan semata-mata tuturan bicara di bibir semata-mata tetapi harus dijelmakan dalam bentuk tindakan, penghayatan dan kehidupan. Berikut adalah 5 langkah dalam usaha menyemarakan cinta terhadap Junjungan Mulia, Rasulullah SAW :

1) Berpegang teguh dengan ajaran dan didikan Rasulullah SAW

Ada yang sensitif apabila Rasulullah SAW dihina, dicerna dan dicaci. Namun, kehidupannya jauh daripada kehidupan Rasulullah SAW.

Justeru, tanda utama kita mencintai Rasulullah SAW ialah kita mengambil seluruh ajaran dan didikan Rasulullah sebagai teras utama jalan kehidupan kita. Kita menggengaminya dan menghidupkan seluruh didikan Rasulullah SAW ini sehingga kita kembali bertemu Allah SWT.

Inilah pengikut Rasulullah SAW yang sejati!

2) Mengamalkan segala sunnah Rasulullah SAW dari sekecil-kecilnya sehingga sebesar-besarnya.

Sunnah Rasulullah SAW itu meliputi, tindakan, percakapan dan kehidupan Rasulullah SAW. Jika kita suka, gemar dan cinta dengan seseorang yang kita sanjung dan hormati maka kita akan melakukan apa sahaja yang dia lakukan. Oleh itu, hal ini sama juga konsepnya dengan sunnah Rasulullah SAW.

Bermula membuka mata di awal pagi sehingga melelapkan mata di pengakhiran malam, kita memperhalusi setiap tindakan kita dengan mencontohi gerak geri dan amalan harian Rasulullah SAW. Bahkan kita berbangga melakukannya dan berusaha menyebarkannya kepada sesiapa sahaja.

Ayuh, kita hidupkan sunnah!


3) Sentiasa berselawat ke atas baginda Rasulullah SAW.




Antara tuntutan yang utama dan dicintai oleh Allah SWT ke atas muslim ialah memperbanyakan selawat ke atas baginda Rasululllah SAW. Di mana sahaja kita berada, tidak kira masa dan waktu – kita begitu mudah dan selalu teringat Rasulullah SAW. Seusai solat, ketika berjalan, saat berehat dan sebagainya, kita punyai ruang untuk mengingati Rasulullah SAW!

Jika hiburan nyanyian dan nasyid yang menjadi halwa telinga kita bergema – yang menjadi pilihan adalah selawat dan puji-pujian kepada baginda Rasulullah SAW. Saat itu, hati begitu tenang, damai dan tenteram.

Inilah asas kecintaan yang subur dan mekar buat kita semua!
4) Berusaha menyelusuri haruman sirah baginda dari saat kecil hinggalah baginda wafat

Bak kata patah : “ Tak kenal maka tidak cinta.” Suatu yang mengaibkan bagi seseorang jika menyatakan dia cinta kepada Rasulullah SAW tetapi tidak pernah tahu, mengerti dan menghayati perjalanan kehidupan baginda secara keseluruhannya.

Ketahuilah, membaca sirah baginda Rasulullah SAW membuatkan kita semaki jatuh cinta dan terus-menerus mengasihi baginda. Cukuplah, sebuah buku sirah yang lengkap untuk kita hadamkan dan kita sentiasa mengulanginya secara berkala untuk melebarkan perasaan kasih ini agar cinta itu terus mekar!

Harumannya terus mewangi dan menyegarkan!


5) Meneruskan usaha dakwah baginda yang telah diwariskan buat ummatnya.




Akhir ini agak sukar. Antara sunnah baginda yang besar ialah melaksanakan dakwah. Keseluruhan hayat dan nadi kehidupan baginda dikorbankan dan diwakafkan untuk dakwah kepada Allah SWT.

Kemuncak kecintaan kita kepada baginda, ialah kita turut merasai betapa pentingnya untuk bersama-sama baginda merealisasikan visi dan misi dakwah kepada ummat manusia agar mengenali Allah SWT dan memperhambakan diri kepada-Nya.

Pilihlah untuk berdakwah dengan kemampuan yang paling maksima, agar kita sentiasa “hidup” bersama Rasulullah SAW. Pernyataan ini adalah bukti yang paling besar dan utama sebagai “signal” cinta kita terhadap baginda.

Penutup : Kita Punyai Pilihan!

5 Langkah ini, adalah langkah yang praktikal, mudah dan sesuai dilakukan oleh sesiapa sahaja. Bagi kita yang menyatakan cinta kepada baginda, kita harus jelmakan pembuktian itu dengan jelas, terang dan nyata. Kita berhak memilih untuk berikan yang terbaik buat baginda
Rasulullah SAW. Teringat saya kata-kata ini :“ Biasakanlah dirimu melakukan hal-hal yang termulia dan yang terbaik. Kirimkanlah dulu ke liang kuburmu hal-hal yang akan menyenangkanmu di sana sebelum kamu mendatanginya.”

(Ibnu Jauzi)

Mari kita semak, lihat dan amati perkara ini sedalam-dalamnya dalam kehidupan kita. Adakah kita ini benar-benar pejuang serta pengikut Rasulullah SAW yang “tegar” atau hanya omongan kosong di pinggiran kata?

No comments:

Post a Comment

Followers